29 April 2005
Hampir setahun bapa menderita kanser paru-paru...Hari ini bapa berada di rumah abang long setelah terlantar di Hospital Sg. Buluh. Sebelum keluar dari hospital bapa telah diberikan suntikan steroid. Doktor meminta kami sekeluarga redha dgn apa yg berlaku kerana berdasarkan pengalaman doktor, bapa mungkin tidak akan bertahan lama. bapa seperti biasa terbaring lemah di katilnya. Emak sentiasa berada disisi,memicit badan bapa yang sering sakit-sakit. Kesakitan jelas terpancar diwajahnya.Masih terngiang-ngiang suara bapa meminta dadanya di belah kerana tidak tertahan menanggung sakit. Kami hanya mampu meminta bapa banyak bersabar dan redha atas ujian Ilahi. mungkin bapa tahu yang dia akan menemui penciptanya. Bapa berpesan kepada emak " kalau awak nak tengok aku pergi, jangan la pergi ke mana-mana".
30 April 2005
Aku berat hati hendak meninggalkan rumah abang long, kalau tak silap aku hari ini aku dan isteri ada program di sekolah. Isteriku mengajar di sk.convent kajang. Aku melihat bapa semakin lemah di katilnya. Sakit yang tak terhingga. Abang Long pula ke KLIA menjemput rakannya. Tinggal emak,abang zol dan cucu-cucunya di rumah.
setibanya aku di Kelana Jaya, emak menelefon memberitahu bapa sudah nazak. aku segera berpatah balik menuju ke rumah abang long.
Tengah hari itu, Malaikat Izrail tidak bertangguh menjalankan tugasnya, peluh terpercik didahi bapa, Sakaratul Maut... berkerut muka bapa menahan kesakitan sewaktu roh perlahan-lahan meninggalkan jasad. Hanya kalimah Allah di bibirnya. direnungnya emak dan anak cucunya spt mengucapkan selamat tinggal. Menitis air mataku sewaktu membacakan surah yasin di hujung nyawanya. Yasin terakhir untuk bapa sewaktu hayatnya. aku mencium bapa. Kalimah Allah tak lekang dibibirnya. tiada suara bapa lagi, bibirnya masih mengalunkan kalimah Allah. perlahan-lahan bapa memejamkan mata.Inilah kebesaran Allah, setelah setahun bapa menderita melawan kanser, Akhirnya bapa pergi dengan penuh ketenangan.
Al-Fatihah untuk Allahyarham Mohd Ali Bin Sanif
Semoga Rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.